Monday, December 10, 2007
Mencari
Diri yang sendiri
diri yang tak memiliki
dalam hati
di situ keutamaan dunia
dari sepotong mimpi nista.

Berlari mengejar dunia
sementara pencarianku kepadanya
adalah penderiaan yang nyata
kerana setitik cinta
kehausan selamanya.

Kutahu hidup ini tak mudah
kumakamkan masa lalu yang jauh
pintu pencarian, berikanku sinar
agar aku tidak khuatir
agar aku tidak bersedih.

Berikanku sinar
limpahan petunjuk al-Quran
aku adalah milik-Mu
aku kembali kepada-Mu.

[Zaharah Muhammad]
Sitiawan, Perak
10 Disember 2007

posted by Zaharah @ 4:40 AM   0 comments
Wednesday, July 11, 2007
DIA
Dari kabus gelap, kuberjalan mencari cahaya
tanpa sepatu, kuberjalan tanpa menoleh
sakit di kaki, kubiarkan ia meluka
kerana hati, perlukan cahaya-Nya.

Kuberjalan, sehingga kabus menghilang
ketika cahaya, kelihatan di balik perbukitan
kuberlari, tanpa kupeduli bahaya
kerana kuperlukan Dia.

Sehingga cahaya itu, berusaha kusentuh
kutenggelam di dalam paya alpa
ku tak ingin mengingat apa-apa lagi
aku inginkan Dia!
posted by Zaharah @ 12:52 AM   0 comments
Sunday, July 08, 2007
Kebenaran
Saat kebaikan menjadi dagangan
kan jadi mahal pula harga kebenaran
hingga terlalu sukat untuk dibezakan
dengan kebatilan!

Tuhan,
lidungilah hambaMu
tutupi hatiku dari kabut cahaya bumi
yang menyilaukan mata manusia ini
agar tidak pula aku dikaburi
kebenaran yang palsu
kebaikan yang berdebu!

Tuhan,
aku ingin kembali kepadaMu
dalam kebenaran
penuh kebenaran
pada kebenaran
tanpa ada kepalsuan!
posted by Zaharah @ 8:40 AM   0 comments
Saturday, July 07, 2007
Yang Hitam Itu....
Sebuah lautan biru, membeku
jadi tasik hitam pilu
membelah bilah-bilah rindu.

Pada senja semalam
kuterlupa membasuh hitam jiwa
tenggelam dalam dakwat hitam kehidupan
sebatilah ia merona di dada
hingga jadi derita
membunuh indah warna senja!

Untuk kukembali mendaki cerah mentari
benar-benar keterlewatan
kerana senja telah hitam dipenghujungnya
lalu kuberakit melewati mukaddimah malam
dalam tangisan dan kegelapan
cahaya iman melenyap jadi abu.

Tasik hati, terus hitam membeku
bagai tiada permulaan untuk cahaya kembali
menyucikan!

Tuhan,
turunkanlah hujan rahmat
bermanikkan cahaya hidayah
leraikanlah kebekuan yang menyakitkan ini
sucikanlah kehitaman yang menderitakan ini
kutadah sepenuh rasa dan harap
tiada sedikit keupayaan, melainkan kudratMu jua
padamkanlah kegelapan ini
nyalakan semula cerah hati
sebelum kumeniti takdir kematian!
posted by Zaharah @ 1:27 PM   0 comments
Saturday, May 26, 2007
Aku Ingin Menangis
Ketika malam memendekkan gelapnya
menunggu mentari tiba
aku ingin menangis.

Air mata biarpun tidak mampu
memadamkan catatan sejarah hitam
air mata biarpun hanya berlalu
memedihkan lagi luka semalam
aku ingin menangis!

Kesakitan bukan lagi ukuran
bila jiwa dibanjiri kesedihan
hanya kepiluan yang terkesan
dan masa menjadi pemerhati yang kebisuan.

Aku ingin menangis
sekalipun takkan mampu menenggelamkan gunung dosa silam
aku ingin menangis
biarpun takkan mampu mengeringkan laut kedurjanaan
aku tetap ingin menangis
dan mengharapkan ampunan Tuhan!

Aku ingin menangis
dan pasti Dia kan mendengari
aku ingin menangis
dan pasti Dia kan memahami!
posted by Zaharah @ 1:37 AM   1 comments
Friday, March 09, 2007
Percaya
Tali percaya itu halus, putus
bila ia tak dijagai
kerana yang datang merempuhnya, tidak kita pasti.

Tali percaya itu, pedih
bila ia tak disedari
kerana kasih sayang yang tumbuh, manakan wujud
bila rasa dipenuhi sangsi.

Tidakkah mahu bulan percaya
bahawa pungguk mencintainya
bukan dusta, bukan sia, bukan reka.

Tidakkah mahu sang camar mengerti
punggur yang disinggahnya, meski kelihatan mati
masih ada cinta sewaja besi.

Kenapa?
Kenapa malam yang tiba
ia memilih prasangka
dan mencampakkan semua rasa percaya
sedang yang membara
adalah api cinta
bukannya nyala yang dusta!





posted by Zaharah @ 10:43 AM   1 comments
Wednesday, February 21, 2007
Di sini Kita Adalah, Untuk Mencintai-Nya
Dari angin petang yang lembut dan manis
mari kita genggam warna cinta
menarik tali setia
dari bongkah-bongkah percaya, di sini kita adalah
untuk mencintai-Nya.

Manis dari buah iman
mari kita kunyah dengan ilmu
mencernanya dengan syariat
dari jalan-jalan yang berliku, di sini kita adalah
untuk mencintai-Nya.
posted by Zaharah @ 5:25 AM   0 comments
Tuesday, February 20, 2007
Tidak!
Sekeras dan setinggi tembok batu
malam biar sentiasa panjang
siang jika sentiasa benderang
angin kalau sentiasa kencang
hujan sampai benua tenggelam
air laut saat ia menjadi kering
hutan dan pepohon kekeringan
awan bertukar menjadi warna hitam

Tidak sesekali
tidak sesekali
biar syaitan berbisik dekat di telinga
saat syaitan bertenggek di pelupuk mata
kalau syaitan ingin merampas takhta jiwa
tidak sesekali
tidak sesekali

Tidak, tidak sesekali aku ingin memilih
selain dari Dia

Syaitan, makhluk laknat
hunuskanlah pedang apimu
pancunglah leherku
belahkan dadaku
pancutkan darahku.

Meski bertukar nyawa
bertukar cinta tidak sesekali
mencintai selain-Nya
pulang kepada selain-Nya
tidak sesekali!

Labels:

posted by Zaharah @ 2:39 AM   0 comments
Saturday, February 17, 2007
Bekukan Aku.
Bekukan
aku dalam pelukan rahmat-Mu

Ikatkan
aku dalam aturan syariat-Mu

Bekukan
aku dalam pelukan rahmat-Mu
Ikatkan
aku dalam aturan syariat-Mu

Bekukan aku ikatkan aku
agar kutaklepas dari perlindungan-Mu.

Labels:

posted by Zaharah @ 2:16 PM   0 comments
Friday, February 16, 2007
Biarlah...
Biarlah...
aku menjadi gunung
tadahan hujan dan kediaman binatang
taman tumbuhan
yang didalamnya ada keindahan
ada ketakutan
tanpa perhitungan.

Biarlah...
aku menjadi burung
yang hinggap di dahan terbang
pagi dan pulang petang
yang padanya ada kesunyian
ada keletihan
tanpa perhitungan.

Biarlah...
aku menjadi pohon
yang mati atau yang rendang
bertunggul atau berbunga kembang
yang padanya hanya kehijauan
tanpa perhitungan.

Biarlah...
aku menjadi laut
yang kering dan kontang
berombak atau tenang
yang di dalamnya hanya kesejukan
tanpa perhitungan.

Biarlah...
aku menjadi batu
yang kaku dan bisu
bersendiri di tebing rindu
yang ada hanya kelu
tanpa perhitungan.

Tuhan,
Salahkah bila seringkali kukatakan pada diri
biarlah aku menjadi gunung
atau burung
atau pohon
atau laut
atau batu
yang akan Kau lenyapkan tanpa perhitunga.

Salahkah aku
bila ingin menjadi sesuatu yang tidak akan berdosa kepadaMU.
salahkah aku?
bila ingin menjadi sesuatu yang tidak akan melupakanMu
salahkah aku ?
bila ingin menjadi sesuatu yang tidak akan mengingkariMu
salahkan aku?
bila ingin menjadi hambaMu yang tidak tunduk pada nafsu.

Tuhan,
aku bertanya padaMu
tika aku sedang diambang lesu!

Labels:

posted by Zaharah @ 12:18 PM   0 comments
Thursday, February 15, 2007
Penantian
Gelisah mula mencecah
lalu menguasai
sedang aku tidak dibenarkan sujud kepada-Mu
lalu kusujudkan hati dan pengakuanku
tanpaMu, aku tidak miliki apa-apa.

Dalam percutian dan perjalanan
tika zahirku direhatkan Tuhan
aku gelisah tanpa bahasa
walhal Dia sentiasa dekat sentiasa ada
hanya terlindung dalam rahsiaNya.

Rabbi,
KumenantiMu disetiap pintu
mohon Kau bukakan ia sentiasa
dalam hati dalam jiwa
agar tidaklah pula kubergelap dalam sesat

....dan,
kerehatan ini sebenarnya
adalah nikmat dan rahmatMu
agar aku lebih merasa rindu!

Labels:

posted by Zaharah @ 11:46 AM   1 comments
Wednesday, February 14, 2007
Kumencari Cinta
Kumencari rindu
dalam titisan hujan yang gebu
kumencari cinta
dalam tiupan angin yang pilu

Kutemui
Seberkas kasihNya Yang Satu.

Labels:

posted by Zaharah @ 12:15 PM   0 comments
Tuesday, February 13, 2007
Malam Tadi Kubermimpi
Sewaktu embun masih di daun
mimpiku bubar
disentak waktu lalu terjaga
membiarkan saja rekahan
wajah-wajah cinta berserakan.

Cintaku
yang kusimpankan lama
di dalam album setia
kupastikan ia terjaga
walau bayangmu semakin mengecil
dipandangan mata.

Dan malam tadi
tali hati yang mengikat nadi
terputus dipotong mimpi
kau benar-benar telah pergi
meninggalkan hatiku kosong kembali.

Lalu fajar
yang menyingkap tabir langit pagi ini
menjadi sempadan
antara dunia dan harapan
aku berteleku di sejadah impian
yang berderaian
kukumpulkan titis-titis air mata
menyatukannya kembali
mempersembahkan tangis di hadapan Tuhan.

Labels:

posted by Zaharah @ 7:39 AM   0 comments
Monday, February 12, 2007
Langit Petang Yang Jingga
Langit petang yang jingga
kutulis di atasnya bahasa sukma
kutitiskan di atasnya darah luka.

Langit petang yang jingga
dari warnanya kubelajar erti susah
dari awannya kubelajar erti resah
dari jalurnya kubelajar erti gelisah

Langit petang yang jingga
demikian warnanya
kubelajar dengan penuh percaya.

Bahawa......
Dunia ini tempat bersusah payah....

Labels:

posted by Zaharah @ 3:06 AM   0 comments
Tuesday, January 30, 2007
SENJA
Senja,
Yang menumpangkan cahaya
rembang ke permukaan perasaan
lalu camar pulang ke sarang
berbekalkan sumbu pelita alam.

Senja,
Kau tundukkan cahaya mentari
lenyapkan warna-warna bumi
kan bersatu dalam kudrat Ilahi
yang datang pasti kembali ke azali.

Senja,
Kau datangkan hanyir bau pendengki
menyerbu nyawa Si Berani Mati
segugus awan datang memayungi
dan jasad Sang Lelaki
rebah ke bumi
menyembah Ilahi
mengalirkan darah sebagai saksi!

Senja,
Kau tinggalkan langit Lubnan
berarak menutupi malam di Beirut
menyusur ke Tyre sampai Haifa
kau tinggalkan kenangan
di hari si ibu, si ayah, si anak, si isteri dan si suami
kau bawa mimpi negeri
berakhir di subuh yang sunyi.

Senja,
Kau pasti datang lagi
seperti kau yang sentiasa mendatangi Ramallah
meniup angin hasad dari Tel Aviv
membangunkan lena syuhada
dalam sesaat bertukar ganti
sampai Qiamat datang
membawa perhitungan Tuhan.

Senja,
Dari jauh kau datang mengajar batinku
menangis....
tatkala darah syuhada
jadi dagangan yang dibeli Tuhan
sedang aku?
mendakap senja dalam keamanan
yang sering membuahkan lelalaian.

Dan senja,
Kau benar-benar datang
untuk membuat aku
menjadi seorang perindu
yang menangis menagih cinta Tuhan!

Labels:

posted by Zaharah @ 4:21 AM   0 comments
Sunday, January 28, 2007
Ghobar
Ini, kutitipkan rasa
tak mampu kuluah semua
kesal, sakit,rindu dan resah
terpendam jauh ia dalam pembuluh darah.

Teja itu telah pergi
berarak dan meninggalkan aku di sini
Kutaslimkan semuanyasegala rasa duka.

Mulia tangan dan kudratmu
takkan berubah
kau perlu kusanjung walau dalam resah,
wahai yang bergelar ayah.

Ini, ada senja yang merintik di hatiku
biar kuluahkan pada angin yang wuquf di jendela
ia berupa kenyataan walau begitu pilu
kerana engkau ayah dan aku anakmu.

Burung juga memberi makan anak mereka
kucing juga sayangi anak mereka
lembu juga menyusui anak mereka
harimau juga melindungi anak mereka.

Tanganmu pernah menyuap ke mulutku
tanganmu juga pernah memeluk melindungiku
tanganmu juga pernah mengusap ubun-ubunku penuh rindu
tanganmu juga pernah menyapu air mata yang mengalir di pipiku.

Untuk bergelar ayah, tidak cukup itu
sekalipun kain tebal melindungi auratku
tanpa ilmu dan iman aku tetap berasa malu
sekalipun tubuhku sihat perutku kenyang
tanpa taqwa dan iman aku tetap berasa lapar
sekalipun mulutku petah berbicara
tanpa ilmu dan taqwa aku tetap berasa bisu
sekalipun bibirku sentiasa kau lihat senyum
tanpa iman, taqwa dan ilmuaku sentiasa rasa bisu, lapar dan malu!

Wahai benar, aku bukan pendiris hatimu
ghobar ini, selalu kusisih dengan air mataku
makhfi dalam hati
tika mungkin hatimu telah kulukai
tika mungkin harapanmu telah kuhancuri
tika cita-citamu terhadapku telah kumusnahi.

Wahai benar, aku ingin tanganmu terus memeluk melindungiku
tetapi aku mahu kau sedar aku ini milik DIA
tetapi aku mahu kau sedar aku ini ada tangungan sendiri terhadapNya.

Wahai benar, aku ingin tanganmu terus memelukku penuh rindu
tetapi aku mahu kau sedar
sejauh mana dadaku ini telah kau isi dengan piala taqwa
tetapi aku mahu kau sedar
betapa jauh aku perlu bermula mengisi qalbuku yang kosong.
Hana.

Wahai benar, aku hanya ingin mencari apa yang belum kumiliki
hingga terlupa pada apa yang perlu kuberi.

Apakah kau kira aku ini safa
seperti yang mula-mula menangis tika tercampak ke bumi?
Apa kau kira aku ini permata
seharusnya di sisimu berkilau sentiasa?
Apakah kau kira aku ini bunga
sewajar di lamanmu mekar dan layu?
Duhai, aku ini makhluk bernyawa
memiliki tangungjawab khalifah
ada kekosongan yang perlu kuisi ke dalam jiwa
tentang apa yang tidak kau ajarkan
ada penyucian yang perlu kulalui dalam qalbu
tentang apa yang tidak kau serukan kepadaku.

Duhai, aku mencarinya sendiri
berjujuh air mata melawan lasykar hitam
yang sentiasa menujah ke dalam hatiku
hingga jadi aswad.
Kelam.

Bila tiba masa, kusuarakan yang benar padamu
tentang kebaikan bukan hanya simpanan
tentang kebaikan bukan hanya hiasan
tentang kebaikan bukan hanya percakapan

tiba-tiba aku jadi racun di hatimu
tiba-tiba aku jadi duri di hatimu
tiba-tiba aku jadi pawata di hatimu
tiba-tiba....tiba-tiba aku terpaksa menyisih
lalu jadi derhaka.

Ayah,
apakah kau hanya mahu aku jadi mawar
kau semai, kau siram, kau baja, kemudian layu?
Ayah,tiba-tiba aku merayu DIA
kurniakan aku sejahtera
dan ayah akan memelukku
sebagai satu nyawa yang akan disoal di hadapan Tuhan!

D301 Za'ba, Ogos 1998

Labels:

posted by Zaharah @ 6:05 AM   1 comments
Thursday, September 21, 2006
Di Sini
Di sini
daun bersatu dengan bumi
yang dulu dipisahkan oleh ranting
usia makin menua
melabuhkan catatan pujangga
menyingkatkan masa.

Di sini
aku dan cinta
akan menyatu
pada pertemuan yang bermula
dengan doa.

Akan Kau sambutkah aku
atau aku hanya pulang
untuk terasing
bersimpuh di pintu
ampunan kasihMu!

Labels:

posted by Zaharah @ 11:57 AM   1 comments
Masihkan Lagi
Masihkah kau ingat
tika kita seiring mengharungi liku
teguh erat berpegang janji
tak terlerai walau dimamah waktu
tak termampu untuk kita mungkiri.

Masihkan kau ingat
waktu kasih kita dilanda badai
memaksa segalanya terlerai
walau kukorbankan jiwa untuk bertahan
tetap jua terjadi perpisahan.

Masihkan kini
namaku wujud di hatimu
mengiringi tiap perjalanan hidupmu
atau telah lama aku tenggelam
pada pedihnya kenangan silam.

Masihkah kini
kau merindui saat-saat lalu
mengharap pertemuan kembali
antara kau dan aku
walau bermusim kita menyepi.

Masihkah mampu lagi
kumeraut wajahmu nan sayu
pada musim yang berlalu
bisakah kuputar kembali waktu
biar kuhapus segala pilu.

Masihkah mampu lagi
kita kembali beriringan
menemukan semula keindahan persahabatan
biar terpadam segala pedih kenangan
walau antara kita masih berjauhan.

Atau,
masihkan aku dipersalahkan
membiarkan nista meragut kasih kita
walau kusendiri telah mencuba
menahan keteguhan sebuah persahabatan
menahan pedihnya sebuah perpisahan.

Labels:

posted by Zaharah @ 11:08 AM   0 comments
Kala
Kala sentuhan mentari jingga
tak lagi memberi kehangatan
kala titisan embun dingin
tak lagi memberi kesejukan
kala semerbak kembang
tak lagi menebar wangian
kala gemersik kicauan burung
tiada lagi bersenandung lagu cinta
kala semilir sang angin
tiada berbisik tentang rindu.

Segalanya sirna dipeluk malam
segalanya beku dipeluk bisu
segakanya pergi diseret masa
kuterhempas dalam duka.

Lalu kesedihan meronta jiwa
di matamu ada cinta duka
tanpa kumengerti semuanya
tertutup bagai kabus senja.

Labels:

posted by Zaharah @ 11:03 AM   0 comments
Bila...
Bila sang pengemis cinta
bangkit dari lautan duka
mampukah ditembusi
tembok hati yang tebal kerana luka?

Labels:

posted by Zaharah @ 10:54 AM   0 comments
Tuesday, September 19, 2006
Pilu itu
Ada kata
kusimpan di sini
akan kubuka
dengan pintu seni
agar menyatu cinta kita
cinta aku dan Ilahi.

Pilu itu
kupintal menjadi tali
yang mengikat hati-hati
agar tidak terpesong ke jalan mati

Pilu itu
kuikat bagai tali
penghubung rohani
agar ada yang mengerti
cinta ini
cinta yang rela kukendong hingga mati!

Labels:

posted by Zaharah @ 11:00 AM   0 comments
Monday, August 28, 2006
Yang Memberi
Ya Allah,
Di sini bercabang
jalan dan simpang
luka itu menyimpul
jadi rantaian pilu
yang menghiris kalbu
inilah ujianMu.

Tuhan,
Kau beri ia datang
Kau panggil ia pulang
Tuhan,
Kau izin ia jadi
Kau tahan ia terhenti.

Atas segala yang datang
jua yang tertulis pergi
antara jadi dan terhenti
izinMu jualah
atas sesuatu kejadian
tanpa yang lain mampu atasi.

Labels:

posted by Zaharah @ 6:09 PM   0 comments
Saturday, June 24, 2006
Buat Purteri Yang Layu Di Jendela Zaman
Tika izinNya datang
kau terbentuk dari cantuman
dua kejadian
berputik dalam jagaan
asuhan iman
bahasa untuk kau kenal Tuhan

Mekar di taman
kau wujud dalam kesempurnaan
putih suci menebarkan wangian
cinta dan harapan
mimpi dan keazaman

Ditiup angin adikku
Kau berubah melawan musim
Kau bunga wangi mencengkam
bak mentari pagi
menguntum di celah perbukitan
kau tawan mata yang memandang
kau kunci bibir yang bicara
kau cetus lara dalam jiwa

Adikku,
kau mekar
menarah dahan iman
runtuh jadi abu di taman
kau tiup bahasa alpa
di telinga nusa
kaulah
sekuntum bunga
layu menjadi racun
membunuh sang arjuna!

Labels:

posted by Zaharah @ 3:53 AM   0 comments
Malam
Malam,
Sembunyikan kegelapan
dengan bahasa Tuhan

Malam,
Nyanyikan kesepian
dengan melodi keimanan

Malam,
Tutupilah kepedihan
dengan selimut ketabahan

Malam,
Kusembunyikan kegelapan
kunyanyikan kesepian
kututupi kepedihan

Malam,
Aku ingin dekat denganNya
tanpa ada perantara!

Labels:

posted by Zaharah @ 3:51 AM   1 comments
Saturday, May 20, 2006
Barangkali!
Barangkali, patutnya lama dulu
Telah kusedari

Hakikat kaca yang berderai
Sebaliknya ada luka
Ada hati yang berkecai.
Barangkali!

Barangkali, patutnya aku tidak lupa
Hakikat jasad tersembunyi
Ada roh dan jiwa di sebaliknya
Iitulah yang sering membuat semangat berderai.
Barangkali!

Barangkali, patutnya aku tidak bertanya
kenapa setiap luka itu
wajar mengalirkan darah
selayaknya.
Barangkali!
posted by Zaharah @ 5:56 AM   0 comments
Thursday, May 18, 2006
Perjalanan Mencari KEKASIH
Aku berjalan di dalam kabus
MencariMu
bayangnya kelihatan
wajahnya tak nyata
namun hatiku mengatakan Engkau pasti ada!

Semakin lama
mencari dan menemui
kebesaranMu
semakin kukenal diriku
yang buta dan bisu.

Sedangkan alam ini
setiap waktu memberitahu
kewujudanMu
pada gerak dan diamnya
pada lahir dan batinnya
pada ada dan tiadanya
pada siang dan malamnya
dan..
pada diriku
yang menyimpan seluruh rahsia alam itu.

Aku terus berjalan
berjalan menyusur angin
laut
dan gunung-gunung
mencariMu
ku tak pernah lelah
sehingga pada suatu pagi
cahaya suria
akan menguak tabir kabus
yang memisahkan kita.

KEKASIH,
kutunggu saat kita dipertemukan
dalam rindu yang mendalam!

(Noraini Muhammad-Gong Badak)

Labels:

posted by Zaharah @ 3:39 AM   2 comments
Andainya Semalam Itu Milikku...
Adik-adikku,
Riang batinmu berlari seiringan pukulan ombak
Iramanya adalah lagu hatiku
Kutebarkan jala kasih di pinggir harapan
agar esok milikmu bahagia
moga-moga kalian bisa bermain lagi di pinggir pantai ini untuk esok yang menanti
dengan senyuman dan hilai tawa.

Adik-adikku,
Manis sungguh senyumanmu
mengukir impian lewat mentari terbenam
dan pukulan ombak itu sepertinya
membasuh tangisanmu di waktu kecil.

Hari ini,
Hatiku berbunga kasih menyaksi kelincahanmu
berlarian di pandangan mataku
dengan harapan
kau bisa mencintai Tuhan dengan sehebat cinta
Agar kau menghargai usia remajamu
yang telah luput dari hidupku.

Adik-adikku,
Usah gentar andai engkau pernah tercicir
ketika menyusur hari semalam
bangkitlah dengan setulus harapan murni
untuk terus menghirup indah maya ini
dalam tangisan zikir....

Adik-adikku,
Pandanglah ke wajah mulus ibumu
renunglah ke wajah kasih ayahmu
kelak di situ kau akan temui makna
mengapa mereka sering memarahimu mengapa
mereka sering mengawasi gerak gerimu.
Kerana di mata mereka ada cahaya terbit dari sana
sinar cinta untuk anak-anak
mohon doa dielakkan bencana
mohon doa dikekalkan bahagia.

Adik-adikku,
Hari ini disaksikan Tuhan Yang Maha Memberi
langkah riamu
senyum tawamu melayani pukulan ombak
tanpa sebarang sangsi akan hari esokmu telah membuat aku menangis.

Alangkah! Alangkah indahnya jika aku masih seusiamu
pasti aku juga akan ria gembira
meneguk embun di pinggir pantai ini
tanpa membawa sebeban rasa kecewa dan kesal
akan hari semalam...

Lalu,
Kudoakan sejahteralah dirimu wahai adik-adikku!
moga esok engkau akan lebih tabah
andai terpaksa mengharungi derita
moga esok engkau akan lebih bersyukur
andai bahagia menerangi jiwa.

Adik-adikku sayang,
Jadilah penyambung impianku yang kukelamkan lewat usia remajaku dulu
agar engkau akan lebih cepat memahami;
Hidup ini bukan hanya untuk ketawa semata!

(Kenangan bersama adik-adik di Teluk Segadas, Pangkor 2002)


Labels:

posted by Zaharah @ 3:19 AM   0 comments
Thursday, May 11, 2006
Ya Rabbi!
Ilahi Ya Rabbi,
Sendirian di sini
menghitung tasbih hayat
kutiti jambatan iman
kuselami makna kebenaran
beratnya memikul bebanan ini!

Ilahi Ya Rabbi,
Kudongakkan kepala
menembusi langit tak berawan
menghadap cahaya hidayahMu
kutulis puisi hati dari mimpi
kulukis sendu pengabdian
mengharap belas pengampunan...

Ilahi Ya Rabbi,
Di sini kumencari redhaMu
antara bebayang mentari
dan redup embun membasahi
mencari harga diri...

Ilahi Ya Rabbi,
kuselami makna kehidupan ini
dan perjuangan suci
kutafsiri makna derita silam
kutiti jalan duka hari ini
dan...aku pasti kembali
mencari sejernih air al-Kautsar...
Ampunilah!!!!

Labels:

posted by Zaharah @ 12:20 AM   2 comments
Tuesday, April 25, 2006
Kemboja Biru
Kemboja....
Kaulah si suci nan tersisih
Kembang di daerah perkuburan
Menunggu datangnya tetamu yang bisu dan kaku!
Kaulah...
Si setia nan terbuang
Tumbuh di tanah usang
Menunggu pulangnya
Cinta yang hilang...
Kaulah...
Lentera
Lambang ketulusan
Pengorbanan dan pengabdian
Kau telan dalam tangisan...
Dan,
Kau tetap tersenyum
Di sebalik kelopakmu nan gugur
Menghiasi sepasang batu yang bernama nesan!!
posted by Zaharah @ 3:24 PM   0 comments
Puisi-puisiku adalah catatan perjalanan seorang pengembara yang bakal pulang menemui Khaliqnya.....
About Me
Name: Zaharah
Home:
About Me:
See my complete profile
Koleksi
Yang Lalu
Other things
  • ZAHARAH MUHAMMAD
  • Pondok Zaharah