Tuesday, January 30, 2007
SENJA
Senja,
Yang menumpangkan cahaya
rembang ke permukaan perasaan
lalu camar pulang ke sarang
berbekalkan sumbu pelita alam.

Senja,
Kau tundukkan cahaya mentari
lenyapkan warna-warna bumi
kan bersatu dalam kudrat Ilahi
yang datang pasti kembali ke azali.

Senja,
Kau datangkan hanyir bau pendengki
menyerbu nyawa Si Berani Mati
segugus awan datang memayungi
dan jasad Sang Lelaki
rebah ke bumi
menyembah Ilahi
mengalirkan darah sebagai saksi!

Senja,
Kau tinggalkan langit Lubnan
berarak menutupi malam di Beirut
menyusur ke Tyre sampai Haifa
kau tinggalkan kenangan
di hari si ibu, si ayah, si anak, si isteri dan si suami
kau bawa mimpi negeri
berakhir di subuh yang sunyi.

Senja,
Kau pasti datang lagi
seperti kau yang sentiasa mendatangi Ramallah
meniup angin hasad dari Tel Aviv
membangunkan lena syuhada
dalam sesaat bertukar ganti
sampai Qiamat datang
membawa perhitungan Tuhan.

Senja,
Dari jauh kau datang mengajar batinku
menangis....
tatkala darah syuhada
jadi dagangan yang dibeli Tuhan
sedang aku?
mendakap senja dalam keamanan
yang sering membuahkan lelalaian.

Dan senja,
Kau benar-benar datang
untuk membuat aku
menjadi seorang perindu
yang menangis menagih cinta Tuhan!

Labels:

posted by Zaharah @ 4:21 AM   0 comments
Sunday, January 28, 2007
Ghobar
Ini, kutitipkan rasa
tak mampu kuluah semua
kesal, sakit,rindu dan resah
terpendam jauh ia dalam pembuluh darah.

Teja itu telah pergi
berarak dan meninggalkan aku di sini
Kutaslimkan semuanyasegala rasa duka.

Mulia tangan dan kudratmu
takkan berubah
kau perlu kusanjung walau dalam resah,
wahai yang bergelar ayah.

Ini, ada senja yang merintik di hatiku
biar kuluahkan pada angin yang wuquf di jendela
ia berupa kenyataan walau begitu pilu
kerana engkau ayah dan aku anakmu.

Burung juga memberi makan anak mereka
kucing juga sayangi anak mereka
lembu juga menyusui anak mereka
harimau juga melindungi anak mereka.

Tanganmu pernah menyuap ke mulutku
tanganmu juga pernah memeluk melindungiku
tanganmu juga pernah mengusap ubun-ubunku penuh rindu
tanganmu juga pernah menyapu air mata yang mengalir di pipiku.

Untuk bergelar ayah, tidak cukup itu
sekalipun kain tebal melindungi auratku
tanpa ilmu dan iman aku tetap berasa malu
sekalipun tubuhku sihat perutku kenyang
tanpa taqwa dan iman aku tetap berasa lapar
sekalipun mulutku petah berbicara
tanpa ilmu dan taqwa aku tetap berasa bisu
sekalipun bibirku sentiasa kau lihat senyum
tanpa iman, taqwa dan ilmuaku sentiasa rasa bisu, lapar dan malu!

Wahai benar, aku bukan pendiris hatimu
ghobar ini, selalu kusisih dengan air mataku
makhfi dalam hati
tika mungkin hatimu telah kulukai
tika mungkin harapanmu telah kuhancuri
tika cita-citamu terhadapku telah kumusnahi.

Wahai benar, aku ingin tanganmu terus memeluk melindungiku
tetapi aku mahu kau sedar aku ini milik DIA
tetapi aku mahu kau sedar aku ini ada tangungan sendiri terhadapNya.

Wahai benar, aku ingin tanganmu terus memelukku penuh rindu
tetapi aku mahu kau sedar
sejauh mana dadaku ini telah kau isi dengan piala taqwa
tetapi aku mahu kau sedar
betapa jauh aku perlu bermula mengisi qalbuku yang kosong.
Hana.

Wahai benar, aku hanya ingin mencari apa yang belum kumiliki
hingga terlupa pada apa yang perlu kuberi.

Apakah kau kira aku ini safa
seperti yang mula-mula menangis tika tercampak ke bumi?
Apa kau kira aku ini permata
seharusnya di sisimu berkilau sentiasa?
Apakah kau kira aku ini bunga
sewajar di lamanmu mekar dan layu?
Duhai, aku ini makhluk bernyawa
memiliki tangungjawab khalifah
ada kekosongan yang perlu kuisi ke dalam jiwa
tentang apa yang tidak kau ajarkan
ada penyucian yang perlu kulalui dalam qalbu
tentang apa yang tidak kau serukan kepadaku.

Duhai, aku mencarinya sendiri
berjujuh air mata melawan lasykar hitam
yang sentiasa menujah ke dalam hatiku
hingga jadi aswad.
Kelam.

Bila tiba masa, kusuarakan yang benar padamu
tentang kebaikan bukan hanya simpanan
tentang kebaikan bukan hanya hiasan
tentang kebaikan bukan hanya percakapan

tiba-tiba aku jadi racun di hatimu
tiba-tiba aku jadi duri di hatimu
tiba-tiba aku jadi pawata di hatimu
tiba-tiba....tiba-tiba aku terpaksa menyisih
lalu jadi derhaka.

Ayah,
apakah kau hanya mahu aku jadi mawar
kau semai, kau siram, kau baja, kemudian layu?
Ayah,tiba-tiba aku merayu DIA
kurniakan aku sejahtera
dan ayah akan memelukku
sebagai satu nyawa yang akan disoal di hadapan Tuhan!

D301 Za'ba, Ogos 1998

Labels:

posted by Zaharah @ 6:05 AM   1 comments
Puisi-puisiku adalah catatan perjalanan seorang pengembara yang bakal pulang menemui Khaliqnya.....
About Me
Name: Zaharah
Home:
About Me:
See my complete profile
Koleksi
Yang Lalu
Other things
  • ZAHARAH MUHAMMAD
  • Pondok Zaharah